'Kalau Ditakdirkan Pergi Dulu, Siapa Nak Jaga Anak Autisme Aku Ini?'


Assalamualaikum Abang Syahril. Saya seorang ibu kepada anak autisme, lelaki, 9 tahun. Apa yang saya nak kata, terima kasih. Terima kasih banyak-banyak tak terhingga kerana sudi highlight tentang anak autisme. 

Seperti yang abang kata, mereka datang tak berkerusi roda, dipimpin bukan sebab buta tetapi masyarakat tak nampak. Bila sebut autisme, mereka kata,

"Ooo lembab eh?"

Kadang-kadang lebih sakit hati, 

"Dia bodoh ke tak tahu cakap?"

Sebab itulah saya lebih selesa menyorok anak di rumah dari membawanya keluar seperti anak-anak normal yang lain. Belum lagi kawan-kawan sebaya anak sendiri tak nak main sekali. Pandang dia dengan pandangan yang jijik. 

Kadang-kadang keluarga sendiri pun macam buat tak tahu. Presure kita suruh buat itu, buat ini. 

Untuk pengetahuan abang, anak saya walaupun berusia 9 tahun, berak masih saya yang kena basuh. Makannya masih kena suap, mandi pun saya yang kena mandikan dia. Belum lagi cabaran di sekolah, kawan-kawan buli, ajar benda bukan-bukan. Akhirnya kami ibu bapa terpaksa menanggung sendiri. 

Even mereka yang bekerja dengan anak-anak autisme ini pun tak mampu nak faham apa sebenarnya secara teori mungkin. Tetapi secara praktikal, hanya ibu bapa yang rasa.

Penat? Boleh saya katakan tersangat penat. Saya sendiri masih dalam sesi terapi kaunseling. Duduk rumah, tak jumpa orang. Jaga anak yang 1,001 macam karenah. 

Ramai yang tanya, tak ada ubat ke? Kadang-kadang saya jawab ada ubatnya, iaitu mati. Tetapi selalu saya bisik dalam hati.

"Allah berikan aku umur yang panjang sebab kalau pergi awal, siapa nak jaga anak aku ini? Even bapanya pun saya tak percaya.

"Jika ditakdirkan aku pergi dulu, biarlah aku pergi bersama anak aku ini atau biarlah dia yang pergi dulu. Tak sanggup rasanya bila dia meratap hiba bila ibunya yang pergi dulu. Itupun kalau dia faham. Takut dia mencari benda yang tak kembali,"

Moga kami diberikan kekuatan untuk teruskan perjalanan membimbing amanah Allah ini. Apa-apa pun, terima kasih sebab sudi menulis tentang autisme. Harapnya masyarakat kita buka mata dan hati, bukan hanya simpati. Anak kami pun mahu menumpang hidup di atas dunia Allah. 

Untuk abang Syahril, teruskanlah menulis kisah-kisah masyarakat. Setiap hari saya menunggu tulisan-tulisan seperti ini untuk dibaca. Terima kasih. - Fans Syahril A. Kadir | PIXEL MEDIA

0 Response to "'Kalau Ditakdirkan Pergi Dulu, Siapa Nak Jaga Anak Autisme Aku Ini?'"

Post a Comment