CEBISAN kertas ayat suci al-Quran ditemui bertaburan di atas jalan raya dari Yong Peng menuju ke Segamat, Johor pada awal tengah hari, semalam.
Menurut individu yang menemui cebisan kertas itu, Wahid Md Elah, 55, kejadian tersebut disedari kira -kira jam 12 tengah hari ketika tiba di tempat kerjanya selepas pulang dari mengambil anak di sekolah.
Dia yang merupakan pekerja am di sebuah bank, berasa pelik sejurus melihat cebisan-cebisan berterbangan di hadapan pejabat lalu memeriksanya.
“Saya dapati banyak cebisan kertas bertaburan di jalan raya dan apabila diperiksa saya dapati ianya cebisan al- Quran yang telah dikoyak kecil.
“Saya terus mengambil beg plastik dan mengutip cebisan ayat suci berkenaan sebelum dibantu oleh orang ramai yang lalu lalang di kawasan tersebut sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas,” katanya, seperti dilaporkan sebuah akhbar.
Wahid mengatakan dia begitu terkilan kerana tidak menyangka sesuatu seperti itu berlaku, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan dan berharap pihak berwajib segera menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap si pelaku.
Difahamkan, seorang saksi yang enggan dikenali memberitahu dia ternampak sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna putih melemparkan cebisan kertas itu kira-kira jam 12 tengah hari.
Sementara itu ADUN Tenang, Mohd Azahar Ibrahim yang meninjau lokasi kejadian meminta orang ramai agar bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi mengenainya.
“Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan termasuk memeriksa rakaman dari sistem kamera litar tertutup (CCTV) bagi memastikan perbuatan ini disengajakan atau sebaliknya,” katanya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat mengesahkan kejadian dan memaklumkan bahawa kertas siasatan kes itu sudahpun dibuka.
Sehubungan itu orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta supaya tampil membuat laporan bagi membantu siasatan. – MYNEWSHUB.CC
0 Response to "Gempar! Cebisan Al-Quran Bertaburan Di Atas Jalan Raya"
Post a Comment