Dalam dunia yang serba mencabar hari ini, ekonomi yang tidak stabil, kebanyakan dari kita punya lebih dari satu mata pencarian. Ya, selain makan gaji, ramai yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan secara ‘online’ mahupun ‘offline’.
Ada juga yang sanggup berhenti kerja semata-mata mahu fokus kepada perniagaan apabila pulangan perniagaan lebih baik dari makan gaji. Walaupun hakikatnya tiada jaminan perniagaan itu akan untung selamanya.
Menyedari hakikat itu, kita pun sanggup melaburkan modal, masa, komitmen untuk mempelajari pelbagai ilmu berkaitan perniagaan kerana tidak mahu mengalami kerugian di masa hadapan.
Namun, sedarkah kita, semua pelaburan di dunia ini pasti ada risiko dan tiada jaminan? Boleh jadi untung, boleh jadi juga rugi. Cuma ada satu sahaja perniagaan yang Allah nyatakan didalam Al Quran yang mana jaminannya, 100% untung dan tiada kerugian!
Perniagaan Tidak Akan Rugi.
Ya, sebenarnya ramai dari kita yang tidak tahu, perniagaan yang tiada risiko dan telah dijamin Allah ini. Jaminan keuntungannya berterusan sehinggalah kita sudah meninggal dunia! Perniagaan yang pasti tiada rugi ini hanya menggunakan tiga MODAL sahaja.
APAKAH perniagaan itu?
Surah Fatir : 29 :
“Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian”
Modal #1
Allah meletakkan “ingredient ” pertama untuk mendapatkan perniagaan tidak akan rugi ialah dengan modal membaca dan memahami Al Quran.
Mengapa?
Apabila kita mahu menduduki ujian, diberikan buku manual sebagai rujukan, namun kita tidak faham ketika membaca buku tersebut, mampukah kita menjawab soalan mengikut skema pemarkahan yang ditetapkan?
Sama halnya,
Apabila kita dilanda ujian, diberikan Al Quran sebagai rujukan, namun kita tidak faham apa yang disampaikan oleh Al Quran, mampukah kita melalui ujian hidup mengikut skema piawaian yang ditetapkan oleh Allah?
Kerana itu modal #1 ini sangat penting kerana ia menentukan bagaimana kita mengendalikan hidup kita di dunia ini dengan panduan yang Allah tetapkan.
Modal #2
Modal kedua ialah kita perlu mendirikan solat. Solat merupakan jambatan hamba kepada tuhannya. Solat juga merupakan cara seorang hamba melahirkan syukur kepada tuhannya. Ia bukan sekadar tanggungjawab kosong.
Apabila ibadah solat ini dilakukan hanya semata untuk mendapatkan cinta Allah, pandangan kita terhadap dunia juga akan menjadi berbeza.
Selama mana kita kenal akan kasih sayang Allah, selama itulah kita tidak akan lapar di bumi Allah. Mana mungkin kita akan fakir sedang kita percaya, kita adalah hamba Allah yang Maha Kaya!
Modal #3
Selalulah meringankan tangan kita untuk bersedekah sebahagian dari nikmat yang Allah berikan kepada kita. Amalan sedekah ini memang mendapat jaminan berkali-kali di dalam Al Quran tentang pulangan yang tidak terjangkau di akal fikiran.
Tidak akan fakir seorang manusia yang banyak bersedekah. Malahan, melalui sedekah Allah bukakan segala pintu rezeki serta jalan penyelesaian terhadap semua ujian dunia yang kita hadapi.
Cukuplah 3 modal yang telah Allah beritahukan didalam Al Quran bagaimana mahu melaburkan diri malah keluarga kita sendiri sebagai permulaan untuk mendapatkan perniagaan yang tidak akan RUGI!
Ingatlah,
Apabila kita mencintai manusia, manusia akan mati. Apabila kita mencintai dunia, dunia akan hancur ketika masa terhenti. Namun, kita mencintai Allah dan kalamnya, itulah cinta hakiki membawa kita ke Jannatul Firdausi.
Apabila kita sedang merangka untuk mendapat keuntungan berterusan ini, wajarkah kita membiarkan sahabat serta saudara kita hanya mengejar perniagaan yang berisiko sahaja?
Mari sama kita sebarkannya, agar kita sama-sama merasa keuntungan nya hingga sampai berkumpul semula di akhirat sana.
ohsemmama
ohsemmama
0 Response to "Perniagaan 100% Untung, Apa Modal Yang di Perlukan?"
Post a Comment