Baca Luahan Hati Isteri Yang Hanyut Dengan Lelaki Lain Lantaran Sikap Dingin Suami

Saya telah mendirikan rumah tangga dengan suami atas dasar suka sama suka sejak awal tahun 2000 lagi dan alhamdulillah, Allah memberikan zuriat buat kami menyambung keturunan. Empat orang anak kesemua membesar dengan baik untuk kami diamanahkan menjaga mereka. Sentiasa terkejar-kejar masa selain menguruskan kerjaya. Itu belum lagi tanggungjawab menguruskan rumah tangga dan anak-anak yang memerlukan perhatian.



Di sebalik penghidupan yang dilalui, rumah tangga saya sudah mulai bermasalah sejak saya mengandungkan anak pertama lagi. Suami seakan mengelak menjalankan tanggungjawabnya kepada saya dengan alasan takut menyakiti anak yang sedang saya kandung sedangkan dari segi bacaan, apabila berlakunya hubungan batin antara suami isteri, ia tidak akan menyakiti anak dalam kandungan.

Sejak itu amat jarang sekali suami saya memberi nafkah batin kepada saya. Itu pun setelah saya minta, barulah dia akan beri tetapi lebih banyak yang menolak. Dengan sikap dinginnya, saya semakin jarang berjumpa dan bermesra. Tambahan pula suami bekerja mengikut syif.

Bila cuti pula, kami sekeluarga akan sibuk melayan aktiviti keluarga berkumpul dan bercuti. Tambahan kedua-dua belah keluarga tinggal di Kuala Lumpur. Masa dan tenaga saya ini banyak dihabiskan bersama keluarga sebelah suami.

Dalam pada melayari kehidupan berumah tangga, ada peristiwa yang terjadi. Sesuatu yang saya langsung tidak terduga dan minta ianya berlaku. Hendak dijadikan cerita, saya menjadi rapat dengan seorang rakan kerja lelaki yang selalu mengambil berat tentang diri ini.

Sebelum ini, selama ditimpa masalah, saya belum pernah berkongsi cerita peribadi dengan rakan lelaki tetapi bersamanya saya bercerita masalah saya hadapi. Selepas dua tahun berkawan rapat, saya ada melakukan perbuatan terkutuk dengan dia. Saya semakin hanyut. Dan suami saya amat jarang meminta saya melayani dia, begitu juga sebaliknya.

Namun selepas dua tahun, hubungan saya dengan rakan sekerja putus disebabkan dia bertukar tempat kerja. Walau begitu kami masih berhubung melalui telefon.

Saya ada cuba berbincang dengan suami mengenai hubungan kami yang tidak serupa seperti suami isteri kebiasaannya tetapi malamnya, suami tidak memberikan apa-apa respons. Selepas beberapa kali berbincang, suami saya minta masa untuk dia berubah.

Awal tahun 2016, saya sudah membuat keputusan untuk meminta cerai dan berbincang dengan suami mengenai perkara ini. Namun saya terkejut kerana seminggu kemudian, suami berhenti kerja secara mengejut tanpa memberi tahu sebabnya kepada saya dengan alasan mahu berehat.

Tiga bulan kemudian suami masih belum berjaya mencari pekerjaan dan sayalah yang terpaksa menanggung semua perbelanjaan rumah. Masa yang sama, dia masih bersifat dingin kepada saya. Hubungan saya dengan rakan kerja juga telah putus kerana dia sudah berkahwin.

Saya nekad ingin meminta cerai dan hidup sendirian membesarkan anak-anak. Saya telah memberitahu keluarga sebelah suami dan mereka ada menasihatinya. Alhamdulillah, beliau akhirnya berubah.

Soalan saya, patutkah saya meminta ampun daripada suami saya atas ketelanjuran saya selama ini? Atau lebih baik saya bercerai sahaja? Saya pasti suami saya tidak akan memaafkan saya. Akan mendapat pahalakah semua amalan saya selagi saya tidak mendapat ampun suami? Bantulah saya!

Sumber - MingguanWanita

0 Response to "Baca Luahan Hati Isteri Yang Hanyut Dengan Lelaki Lain Lantaran Sikap Dingin Suami"

Post a Comment